Sunday, May 17, 2009

Kes kedua H1N1 disahkan

Sumber:Utusan Online
PUTRAJAYA 16 Mei - Kes kedua selesema babi atau influenza A (H1N1) dikesan di negara ini melibatkan seorang pelajar perempuan yang merupakan rakan kepada kes pertama yang dikesan semalam.

Kes kedua itu disahkan oleh Institut Penyelidikan Perubatan pagi ini dan mangsa berada di Hospital Pulau Pinang dalam keadaan stabil, manakala
keluarga mangsa dikuarantin di rumah.

Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Ramlee Rahmat berkata, pelajar perempuan itu menaiki pesawat yang sama dengan mangsa pertama dan merupakan sekumpulan empat orang pelajar dari Amerika Syarikat.

Bagaimanapun, beliau berkata, berdasarkan hasil pemeriksaan, dua lagi pelajar kumpulan yang sama itu berada dalam keadaan sihat.

''Semasa saringan kesihatan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), pelajar perempuan itu tidak mengalami demam.

''Dia hanya dikesan setelah dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang semalam dan disahkan positif inflenza A (H1N1) melalui ujian makmal yang dilakukan pagi ini," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Semalam, pelajar lelaki berumur 21 tahun berasal dari Lembah Klang menjadi mangsa pertama menghidap virus tersebut.

Bagaimanapun, Ramlee berkata, keadaan mangsa pertama itu kini dilaporkan tiada demam lagi dan berada dalam keadaan stabil di wad pengasingan Sungai Buloh manakala lima ahli keluarganya termasuk kakitangan klinik swasta yang pernah memberikan rawatan kepada mangsa itu sedang menjalani kuarantin di rumah masing-masing.

Ramlee berkata, kesemua penumpang lain yang berada dalam penerbangan dengan dua pelajar terbabit telah dikenal pasti membabitkan seramai 192 penumpang dan 15 anak kapal.

''Penerbangan ini adalah destinasi terakhir dan bukan penerbangan kongsi kod dengan mana-mana syarikat.

''Daripada 192 penumpang, 119 masih berada di negara ini iaitu 81 penumpang merupakan warganegara manakala 38 lagi bukan warganegara.

''Baki 73 penumpang lagi telah meneruskan penerbangan ke luar negara pada hari yang sama, dan pihak Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah dimaklumkan untuk tindakan oleh negara masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Ramlee berkata, sehingga pagi ini, hanya 35 daripada 119 penumpang yang berada di negara ini telah membuat membuat panggilan.

''Kementerian Kesihatan menyeru kepada semua penumpang serta kakitangan penerbangan MH 091 terbabit untuk memberikan kerjasama dan sesiapa yang ingkar boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Kawalan Penyakit Berjangkit 1988.

''Jabatan Kesihatan Negeri telah dimaklumkan senarai nama penumpang tersebut dan pegawai kesihatan akan melakukan pemeriksaan dua kali sehari di rumah mereka yang akan dikuarantin selama tujuh hari," katanya.

Menurut Ramlee, tiga penumpang lagi yang sepatutnya meneruskan penerbangan ke tempat lain semalam terpaksa diletakkan di bawah pemerhatian dan dikuarantin di Hospital Sungai Buloh sehingga 20 Mei ini kerana mereka tidak ada tempat tinggal.

Sementara itu, Ramlee berkata, 16 lagi pemberitahuan kes virus tersebut diterima sehingga 12 tengah malam semalam iaitu sembilan kes di Hospital Sungai Buloh, dua di Hospital Tunku Fauziah, Kangar, Melaka dan Pulau Pinang manakala satu kes di Hospital Sultanah Aminah, Johor.

''Sehingga kini 12 daripada 15 sampel didapati negatif manakala selebihnya masih belum diketahui keputusannya.

''Semalam, seramai 7,528 penumpang yang tiba di negara ini telah disaring di semua pintu masuk negara melalui 20 mesin pengimbas suhu menjadikan seramai 88,544 penumpang telah disaring sejak hari pertama virus ini dikesan," katanya.

Malaysia menjadi negara ke-35 dikesan virus influenza A(H1N1) dan kes tersebut kini telah meningkat sehingga 7,949 kes membabitkan kematian seramai 66 orang.

0 comments:

Blog Archive

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP