Friday, May 8, 2009

Kematian Mengejut

Sumber:www.sinarharian.com.my/com/content/story2740618.asp
SEPANG-Keputusan bedah siasat mengesahkan bahawa pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mejar Mohd Shafie Mahat yang meninggal dunia Khamis lalu di Kinshasha, Congo adalah berpunca daripada kematian mengejut.

Ia dinyatakan oleh Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sejurus hadir memberi penghormatan kepada jenazah Allahyarham Mohd Shafie di terminal kargo Lapangan Terbang Kuala Lumpur (KLIA) semalam.

“Bedah siasat tersebut telah dilakukan pada lima hari bulan lalu di Uganda dan keputusan mengatakan ia kematian mengejut, justeru kami mengucapkan terima kasih kepada Pertubuhan kepada kedutaan Uganda di Malaysia serta Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang membantu menguruskan jenazah pulang ke Malaysia,” katanya.

Hadir sama, Panglima Angkatan Tentera, Tan Sri Abdul Aziz Zainal, Timbalan Panglima Tentera Udara, Datuk Seri Bashir Abu Bakar dan Panglima Angkatan Bersama, Leftenan Jeneral Datuk Alatiff Mohd Noor.

Terdahulu jenazah Allahyarham Mohd Shafie tiba tepat 2.15 dari Uganda seterusnya dibawa ke tanah kampungnya di Negeri Sembilan untuk urusan pengebumian.

Mohd Shafie, 50, yang berkhidmat sebagai Pegawai Terminal Udara di Markas Monuc meninggal dunia setelah terjatuh ketika sedang berbual melalui telefon dengan seorang pegawai kanan Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Lef Kol Mohamad Sediqi Abdul Wahid di Kinshasha, Congo.

Mengulas lanjut Zahid berkata, pihaknya akan memberi bantuan yang sewajarnya kepada keluarga Allahyarham melalui skim yang ditetapkan oleh pihak ATM serta kaedah perlindungan insurans.

Di samping itu, beliau juga menasihatkan kepada anggota tentera yang bertugas di pelbagai negara agar meneruskan tugas dengan tekun walaupun menerima berita kematian yang mendukacitakan ini.

“Kematian akan datang bila-bila masa dan di mana-mana sahaja, kita harus reda dan jangan patah semangat, bagi saya ia tetap berlaku kepada setiap orang, kita harus menerima sebagai hakikat,” katanya.

Dalam pada itu, anak ketiga Allahyarham Mohd Syaruddin Mohd Shafie,18 ketika ditemui menerima kenyataan bahawa bapanya sudah pergi.

Menurutnya, pada peringkat awal beliau berasa tidak percaya ketika diberitahu bahawa bapanya sudah meninggal dunia dalam operasi penugasan.

“Ketika itu saya tidak berada di rumah, tetapi emak menghubungi saya supaya balik, saya tidak sedap hati dan terus menanyakan kepada kakak apa yang berlaku dan dia menceritakan bahawa bapa sudah pergi, saya reda dengan apa yang berlaku,”katanya.

Allahyarham meninggalkan seorang balu, Siti Zaharah Omar dan enam anak iaitu Siti Fatin Adibah, 20, Siti Aisyah, 19, Mohamad Syarifudin, 18, Mohamad Syahrizam, 13, Mohamad Syahrizal, 10 dan Siti Zarith Sofea, 9.

4 comments:

KAMATO May 8, 2009 at 9:52 PM  

Sudah sampai masanya mengadap yang Esa, moga rohnya dicucuri rahmat

PG May 8, 2009 at 10:07 PM  

Terima kasih Sedara Kamato kerana sudi lawati blog saya ni.Semoga sedara dirahmati Allah

Unknown May 9, 2009 at 8:22 PM  

Salam PG.

Pak Din datang melawat. Terima kasih kerana selalu sudi ke blog Pak Din.

Kematian mengejut ni ada banyak sebab kan? Tapi apakah sebab sebenarnya?

Alfatihah untuk Rohnya. Maut akan datang kepada siapa atau apa saja yang hidup bila tiba masanya.

PG May 10, 2009 at 4:39 PM  

Wslm Pakdin
Terima kasih kerana sudi ziarah blog saya.
Selalunya kalau mereka yang berumur itu..kebanyakannya disebabkan masalah jantung.

Blog Archive

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP