Tuesday, May 19, 2009

Doakan kesejahteraan Sultan Kelantan

Tue | May 19, 09 | 7:12:01 pm MYT

KOTA BHARU, 19 Mei (Hrkh) - Rakyat Kelantan diminta bertenang dan mendoakan semoga Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Al Marhum Sultan Yahya Petra berada dalam kesejahteraan
Menteri Besar, Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat berkata, semua rakyat hendaklah berdoa semoga baginda cepat sembuh kerana tiada ubat lebih mujarab melainkan doa kepada Allah Taala.

"Bagi saya ubat perkara kedua. Dan perkara pertama yang perlu kita lakukan ialah berdoa. Saya berdoa dan meminta rakyat turut berdoa semoga Tuanku cepat sembuh.

"Saya tahu masalah sakit kerana saya sendiri pernah menjalani rawatan di hospital. Berdoa seramai yang boleh kerana Allah pilih mana doa yang mustajab," katanya di sini, hari ini.

Sultan Kelantan menjalani rawatan di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) di Kubang Kerian sejak Khamis lalu. Difahamkan keadaan baginda sekarang stabil.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, apabila berdoa beramai-ramai mungkin ada seorang dua yang dekat dengan Tuhan membolehkan doa cepat diterima.

"Saya hari-hari pergi melawat baginda kalau tidak ada keuzuran. Lagi pun saya sendiri selalu keuzuran.

"Oleh itu saya berharap rakyat bertenang dan hendaklah sering berdoa kepada baginda di mana sahaja berada," katanya.

Semalam Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Sultan Zainal Abidin dan Raja Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah berangkat menziarahi baginda di HUSM.

Baginda berdua meluangkan masa kira-kira setengah jam berada di Wad Diraja bagi mengikuti perkembangan kesihatan Sultan Kelantan.

Keberangkatan baginda disambut Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Faris Petra dan Tengku Temenggong, Tengku Muhammad Fakry Petra serta pegawai kanan kerajaan negeri.

Sebelum itu Tengku Mahkota Pahang, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah juga melawat Sultan Kelantan.

Ahad lalu, Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir bersama Tuanku Ampuan Besar, Tengku Aisyah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud turut melawat baginda. - mj _


0 comments:

Blog Archive

About This Blog

Lorem Ipsum

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP