Friday, March 27, 2009

Surau dalam Gua Batu Madu

Oleh Ramli Ibrahim
rencana@hmetro.com.my



BAGI orang luar, banjaran gua batu kapur, dekat Kampung Batu Papan, berhampiran bandar Gua Musang, Kelantan lebih dikenali Gua Batu Madu.

Ada yang mendapat rahmat dengan mengambil madu lebah dari sarang hidupan itu yang mudah ditemui di sebalik gua berkenaan.


Kini, gua berkenaan kian mendapat tempat sebagai destinasi pelancongan keluarga kerana keindahan flora dan faunanya. Tambah menarik apabila anda dapat mendengar kicauan burung yang terbang bebas ketika mendaki gua berkenaan.

Mereka yang gemarkan aktiviti lasak boleh mencuba melalui denai di celah batu gua untuk sampai ke puncak.

Tiada yang lebih mendamaikan apabila dapat melihat pemandangan perkampungan berhampiran dari puncak gua berkenaan.

Bagi yang belum pernah sampai ke gua mungkin agak terkejut dengan suasana di dalamnya.

Selain laluan yang selamat, ada surau disediakan untuk kemudahan pengunjung yang mahu bersolat. Luasnya juga membolehkan solat berjemaah diadakan.

Wuduk boleh diambil dari kolam tadahan yang mengumpulkan titisan air dari atas siling gua.

Air dalam kolam yang dikatakan tidak pernah kering itu sangat sejuk sehingga adakalanya mencengkam sehingga ke tulang hitam.

Mereka yang suka memancing atau ingin bermandi-manda boleh berbuat demikian di Sungai Galas yang terletak di tepi gua itu.

Keadaan airnya yang bersih dan batu besar juga menjadikannya sesuai untuk kawasan berehat.

Suasana yang paling sibuk dapat dilihat terutama pada musim lebah bersarang pada Julai untuk melihat hampir keseluruhan di tepi gua batu dipenuhi dengan serangga itu. Kesempatan ini diambil oleh penduduk kampung untuk mendapatkan pendapatan sampingan dengan mengambil madu lebah.

Baru empat dimajukan sebagai pusat pelancongan di Hulu Kelantan, gua itu kian menarik perhatian apabila menerima kunjungan ramai pelancong tempatan dan mereka yang datang dari luar negeri itu yang datang menerusi jambatan gantung merentasi Sungai Galas.



>Info

# Peranan utama bagi menjaga kebersihan dan keindahan Gua Batu Madu dilakukan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Gua Musang sempena kempen Tahun Melawat Kelantan 2008 lalu.

# Jarak gua itu dengan bandar Gua Musang juga hanya terletak kira-kira 10 kilometer dan dihubungkan melalui jalan raya di Kampung Batu Papan atau Kampung Simpang Pulai.

0 comments:

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP