Legasi jutawan Ngah Ibrahim
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
srul@hmetro.com.my
Orang Melayu pertama membuka perusahaan bijih timah memiliki pendapatan lebih tinggi dari Sultan Perak
JIKA tidak kerana peristiwa pembunuhan Residen British pertama di Perak, JWW Birch, mungkin Ngah Ibrahim meninggalkan legasi sebagai jutawan bijih timah terulung di Perak.
Apa tidaknya, ketika zaman kegemilangannya, anak kepada Long Jaafar iaitu orang Melayu pertama yang membuka perusahaan lombong bijih timah di Larut, Matang dan Selama pada 1840 itu dikatakan memiliki pendapatan yang lebih tinggi dari Sultan Perak.
Kekayaannya melimpah ruah sehingga dikatakan memiliki empat kapal dengan dua daripadanya dinamakan Bahtera Bayu dan Indera Bayu yang prestasinya lebih hebat daripada Kapal Pluto yang menjadi lokasi Perjanjian Pangkor pada 1874 manakala dua lagi adalah kapal wap.
Jutawan Melayu yang dikurniakan jawatan Menteri Larut oleh Sultan turut membina Kota Ngah Ibrahim di Matang pada 1854. Terletak berhampiran dengan anak sungai, ia memiliki kediaman rasmi Ngah Ibrahim dan stor menyimpan bijih timah.
Pembantu Muzium di Kompleks Sejarah Matang, Ahmad Sazali Sabu, berkata keseluruhan bangunan asal masih dikekalkan bagi memulihara kesan sejarah kota yang pernah beberapa kali bertukar tangan selari dengan penjajahan kuasa asing.
"Tembok batu sepanjang 131 meter (m) yang mengelilingi kota ini masih kukuh walaupun sebahagian kecil berhampiran pintu utama sudah musnah akibat rempuhan pesawat Jepun ketika Perang Dunia 11.
"Sengaja ia tidak dibina semula bagi memperingati sejarah pendudukan Jepun di Tanah Melayu," katanya ketika menyambut kedatangan peserta program sahabat Zoom! Malaysia Taiping dan Kuala Kangsar, baru-baru ini.
Siri kedua program anjuran majalah pelancongan Libur dan Tourism Malaysia bertujuan mempromosikan destinasi menarik sekali gus meningkatkan pelancongan dalam negara.
Kota berusia 150 tahun itu dibina menggunakan batu bata yang dicampur simen lama dan mempunyai menara kawalan di bahagian utara dan selatan, pelabuhan Melawati, kubur, tugu peringatan kemasukan tentera Jepun.
Selain itu, penerokaan ahli arkeologi turut menemui perigi lama yang dikatakan menjadi sumber air bagi penghuni kota ini. Menariknya, susunan bata perigi diletakkan dengan tiga corak melintang, menegak, seakan tulang belut.
Ahmad Sazali berkata, pengunjung yang pertama kali menjejakkan kaki ke kompleks ini pasti teruja dengan bahan pameran yang menceritakan sejarah perlombongan bijih timah di Larut, yang menjadi titik tolak kepada campur tangan Inggeris di Tanah Melayu.
"Bahan pameran disusun mengikut kronologi dari replika gajah yang diliputi bijih timah, kepada Perang Larut sehingga penentangan pejuang Melayu terhadap Inggeris. Ada juga ruang khas memaparkan penjara dan mahkamah penjajah," katanya.
Selain itu menurutnya, pelancong boleh melihat kediaman Kapten Speedy, warga Inggeris yang menerima gaji puluhan ribu pound sebulan dari Ngah Ibrahim bagi mengekalkan keamanan Larut yang terletak berhampiran kota ini.
INFO
>Kota Ngah Ibrahim pernah menempatkan institut perguruan pertama sebelum pembinaan Maktab Perguruan Tanjung Malim, menjadi sekolah kebangsaan, markas tentera Jepun sehingga diserahkan kepada Jabatan Muzium dan Antikuiti pada 1985 untuk dijadikan Kompleks Sejarah Matang.
>Datuk Maharaja Lela dan Datuk Sagor yang dihadapkan ke mahkamah atas kesalahan merancang pembunuhan Birch. Mereka kemudian dihukum gantung di depan kota ini pada 21 Januari 1877.
UNTUK KE SINI
Gunakan Lebuhraya Utara Selatan menghala ke utara dan ambil susur keluar di Changkat Jering, seterusnya menghala ke Simpang sebelum memasuki Matang. Ia juga terletak 8 kilometer dari Taiping. Hubungi 05-8477970 atau layari laman web Tourism Perak, www.peraktourism.com.
0 comments:
Post a Comment