Tuesday, July 14, 2009

Koperasi Tentera bayar dividen 13 peratus

Sumber:Utusan Online
SUNGAI BULOH 28 Jun - Koperasi Angkatan Tentera Malaysia Berhad (Koperasi Tentera) akan membayar dividen sebanyak 13 peratus kepada lebih 140,000 ahlinya bagi tahun ini.

Dividen bagi tahun lepas berjumlah RM70 juta itu adalah sama seperti yang dikeluarkan pada tahun 2007.

Panglima Angkatan Tentera Malaysia, Tan Sri Abdul Aziz Zainal merakamkan penghargaan kepada ahli dan pengurusan koperasi yang berjaya mengekalkan kedudukannya sebagai salah satu koperasi cemerlang di negara ini.

Beliau yang juga Yang Dipertua koperasi itu berkata, selain memiliki jumlah anggota yang ramai dan jumlah yuran serta syer hampir RM600 juta, koperasi juga telah berjaya menghasilkan prestasi kewangan yang sangat baik dan konsisten sehingga mampu memberikan pulangan dividen berterusan sebanyak 12 peratus setahun sejak 1996.

"Pencapaian itu amat membanggakan walaupun dalam keadaan ekonomi negara dan dunia kurang stabil. Saya percaya pencapaian ini adalah hasil sokongan padu seluruh anggota kepada koperasi terutama dalam melanggan produk-produk yang disediakan.

"Adalah menjadi harapan saya agar sokongan ini dapat dikekalkan demi menjamin kejayaan dan keunggulan Koperasi Tentera pada masa akan datang," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Mesyuarat Agung Koperasi Tentera ke-44 di Dewan Besar Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (Perhebat) di Kem Sungai Buloh di sini hari ini.

Hadir sama ialah Naib Yang Dipertua Koperasi Tentera iaitu Panglima Tentera Udara, Jeneral Tan Sri Azizan Arifin dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar.

Sementara itu, Aziz juga mengingatkan anggota koperasi supaya sentiasa menjaga kepentingan organisasi tersebut yang sebenarnya ditubuhkan semata-mata bagi memenuhi keperluan mereka dan bukannya pihak lain di luar.

Katanya, Koperasi Tentera dimiliki dan dikawal secara demokrasi serta aktivitinya dilanggan oleh anggotanya, justeru, maju mundur bergantung sepenuhnya pada komitmen jitu ahlinya.

"Saya ingin menegaskan bahawa anda semua sebagai anggota Koperasi Tentera mempunyai tanggungjawab berat yang perlu dilaksanakan secara lebih berkesan.

"Koperasi ini adalah milik anda, sikap tolong-menolong, bekerjasama, semangat kekitaan dan sayangkan koperasi perlu ada dalam diri setiap anggota. Penyertaan anggota perlu diiringi dengan sikap penuh komitmen dan dedikasi yang mampu menghindarkan sebarang gejala buruk," katanya.

0 comments:

  © Blogger templates Newspaper III by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP